Malaysia Fest 2019 anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-Thai (MTCC) dan Conceptual Events Worldwide Co Ltd yang bakal diadakan di Central World Bangkok pada 20 hingga 23 Jun ini dianggap sebagai platform terbaik bagi usahawan tempatan untuk melebarkan pemasaran produk serta jualan di negara Gajah Putih itu.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, pelbagai produk dan jenama daripada produk pelancongan, pakej perjalanan, peluang pendidikan, kemudahan perubatan serta barangan yang diusahakan oleh 80 syarikat usahawan Malaysia pada festival tersebut mampu membuka lebih peluang perniagaan dua hala kedua-dua negara.
“Malaysia Fest ini akan menjadi satu platform yang baik untuk komuniti perniagaan Thai dan pemilik produk Malaysia untuk mewujudkan rangkaian dan meneroka peluang perniagaan dalam pengedaran produk melepasi sempadan,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.