Dengan penyumberan global menjadi semakin digital di tengah-tengah pandemik Covid-19, Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC) kini mengadakan Pameran Penyumberan Gaya Hidup HKTDC Fizikal dan Dalam Talian.
Pameran perdagangan yang diadakan dalam kedua-dua format secara dalam talian dan fizikal itu bertujuan membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan model penyumberan baharu dan mengatasi cabaran yang dihasilkan daripada persekitaran perniagaan semasa.
Dengan tema ‘Penyumberan dalam Gaya’, pameran itu akan mengumpulkan lebih 580 pempamer dari sembilan negara dan wilayah, mempamerkan alat permainan, produk bayi, hadiah dan premium, peralatan rumah dan produk optik terkini.
Pertunjukan fizikal berlangsung dari 1 hingga 3 Disember di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong (HKCEC).
Selepas menyertai pertunjukan fizikal itu, pembeli dan pembekal boleh terlibat melalui satu platform pameran dalam talian khusus yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 Disember.
Edisi fizikal bagi Pameran Penyumberan Gaya Hidup di HKCEC akan memaparkan satu rangkaian barangan dan penyelesaian pengguna dan gaya hidup di dalam satu format pameran.
Untuk pameran dalam talian, pempamer akan ditawarkan gerai 3D untuk mempromosikan jenama dan produk mereka pada sebuah platform dalam talian yang kreatif pada penglihatan.
Pembeli dan pempamer boleh membincangkan tawaran melalui satu platform padanan perniagaan HKTDC, Click2Match, yang menggunakan kecerdasan buatan untuk menjalankan pemadanan automatik di antara bakal rakan perniagaan.
Pameran itu akan mengikuti sepenuhnya trend gaya hidup terkini. Ia akan menampilkan 12 pavilion kumpulan seperti Fujian, Jiangsu, Jiaxing, Pinghu dan Zhejiang dari Tanah Besar China, Persatuan Perindustrian Optik Fukui Jepun, KOTRA dari Korea, dan pelbagai persatuan Taiwan yang meliputi hadiah, peralatan rumah, produk bayi, alat permainan, produk optik dan pendidikan.
-NIAGATIMES