Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah berkolaborasi memperkenalkan sebuah projek rintis yang dikenali sebagai Program Pemecut Industri 4.0 khusus untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.
Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Radzi berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi pemangkin kepada PKS untuk lebih cekap mengendalikan aplikasi Industri 4.0 malah juga sebagai pencetus mereka tampil kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“PKS tempatan kini tidak boleh hanya memfokuskan kepada pemasaran dan pengeluaran bagi pasaran tempatan semata-mata, tetapi perlu memastikan produk serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran global.
“Adaptasi PKS ke atas teknologi industri 4.0 akan meningkatkan keupayaan syarikat dalam mendepani cabaran pasaran global agar kekal kompetitif dan relevan di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Program Pemecut Industri 4.0 MED-MTDC di Resort Golf Bangi, hari ini.
Program yang telah disertai oleh 100 syarikat mikro dan PKS tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan dalam mengadaptasi teknologi Industri 4.0 dalam perniagaan mereka melalui penyediaan sokongan teknikal dan pementoran.