Pusat BYD sulung kendalian Harmony Auto kini dibuka di Hartamas Shopping Centre

Harmony Auto yang merupakan kumpulan pengedar kenderaan terkemuka dari China hari ini telah melancarkan Pusat BYD yang pertama di Hartamas Shopping Centre.

Dengan keluasan ruang sekitar 8,000 kaki persegi, Pusat BYD ini menyediakan pelbagai kemudahan yang diwujudkan untuk memperkaya pengalaman pelanggannya. Ia antara lain terdiri daripada ruang pamer kenderaan yang cukup luas, ruang menunggu yang mewah untuk pelanggan, bilik rundingan khas serta ruang serahan kenderaan.

Terdapat enam tempat letak kereta turut tersedia di luar, dengan setiap satunya dilengkapi empat pengecas untuk dimanfaatkan oleh pemilik BYD. Dengan pelan reka bentuk yang teliti, pusat ini bukan sahaja memudahkan capaian pelanggan, tetapi turut mencerminkan kesungguhan BYD terhadap penyelesaian mobiliti mapan.

Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue melancarkan premis berkenaan berkata, “Pembukaan Pusat BYD Hartamas di Hartamas Shopping Centre ini bukan sahaja membawa aura segar ke pasaran Malaysia, tetapi turut menyuntik momentum baharu dalam memperkenalkan mobiliti hijau di Malaysia.”

Tambahnya, lokasi itu sesuai kerana ia menawarkan kemudahan membeli-belah produk BYD sekaligus urusan servis kereta pelanggan. Liang percaya pelanggan BYD di Hartamas dan kawasan sekitar semakin bertambah jumlahnya dan pembukaan pusat baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mencari kenderaan mesra alam.

Sebagai peneraju global bagi kenderaan tenaga baharu, BYD berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian mobiliti hijau termaju di seluruh dunia. Dengan sokongan dasar kerajaan yang menggalakkan, pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar. Oleh itu, kerjasama dengan Harmony Auto akan membantu mempopularkan kenderaan tenaga baharu di Malaysia yang sejajar dengan matlamat negara untuk pengangkutan mapan.

Ketika ini, model BYD yang dijual di pasaran Malaysia ialah BYD Atto 3, BYD Dolphin dan BYD Seal.

Pusat BYD Harmony Auto juga dilengkapi dengan Pusat Servis dan Alat Ganti yang akan siap pada suku ke-empat tahun ini. Dengan pusat 3S beroperasi sepenuhnya, Pusat BYD ini akan menjadi pusat 3S pertama yang terletak di dalam pusat beli-belah.

-NIAGATIMES

Showroom-BYD.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.