Taiwan lancar inisiatif Asia Innovation Capital jadi hab AI serantau

Suruhanjaya Penyeliaan Kewangan (FSC) dengan kerjasama Bursa Saham Taiwan (TWSE) dan Bursa Taipei (TPEx) melancarkan inisiatif Asia Innovation Capital bagi memperkukuh pasaran modal Taiwan serta meningkatkan kedudukannya sebagai hab serantau dalam bidang inovasi dan kecerdasan buatan.

Pengerusi FSC, Peng Jin-lung berkata inisiatif berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan industri jangka panjang dan memperkukuh daya saing global pasaran modal negara itu.

“Platform ini menawarkan pilihan pembiayaan yang fleksibel bagi menyokong pertumbuhan serta transformasi korporat, sejajar dengan cita-cita Taiwan untuk menjadi hab pengurusan aset terkemuka di Asia,” katanya dalam satu kenyataan.

Program itu juga menyokong visi kerajaan Ekonomi Inovatif, Taiwan Pintar dengan memperkemas peraturan penyenaraian dan perdagangan, menubuhkan pasukan perkhidmatan khusus serta menggabungkan sumber bagi membantu syarikat pelbagai saiz dalam sektor utama.

Asia Innovation Capital memperkenalkan 13 langkah pembaharuan meliputi pasaran ekuiti dan bon.

Dalam pasaran ekuiti, Lembaga Inovasi Taiwan akan dipertingkat dengan dagangan harian bagi menambah kecairan, sementara syarat penyenaraian syarikat asing diperbaharui termasuk pemansuhan keperluan tempat tinggal pengarah serta pemendekan tempoh pelantikan penaja jamin sekuriti.

Pasaran bon pula akan membenarkan bon berdenominasi mata wang asing yang diterbitkan di luar pesisir untuk disenaraikan di Taiwan, bagi memperluas jangkauan antarabangsa pasaran domestik. Syarat kelayakan penerbitan bon oleh syarikat asing turut dilonggarkan bagi mempelbagaikan saluran pembiayaan.

“Inisiatif ini membantu perusahaan mengakses pembiayaan yang fleksibel melalui saluran ekuiti dan bon, serta menggalakkan pertumbuhan dan transformasi jangka panjang,” tambah Peng.

FSC menjelaskan usaha itu akan membina pasaran modal yang lebih dinamik dan inklusif, memupuk inovasi serta memperkukuh daya tarikan pelaburan global Taiwan.

-NIAGATIMES

credit-CNA-Photo.jpg