TOT MPOB 2026 buka ruang PMKS perkasa produk berasaskan sawit

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus memperkukuh agenda pemerkasaan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) menerusi penganjuran Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2026) sebagai pemangkin pembangunan industri sawit negara.

Acara tahunan yang bakal berlangsung pada 30 Jun 2026 di Ibu Pejabat MPOB di Bandar Baru Bangi menyasarkan penyertaan para penggiat industri, usahawan tempatan dan agensi kerajaan dalam usaha meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi sektor sawit yang menawarkan peluang ekonomi bernilai tinggi.

Program TOT MPOB telah membantu ramai usahawan tempatan meneroka peluang perniagaan melalui pengkomersialan teknologi dan membantu mempercepat pembangunan sektor sawit negara.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, program ini bukan sekadar platform perkongsian teknologi, malah menjadi ‘game changer’ kepada usahawan PMKS untuk melonjakkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Melalui TOT MPOB, usahawan bukan sahaja memperoleh akses kepada teknologi terkini dan produk inovatif, malah berpeluang menjana pendapatan lebih tinggi menerusi penghasilan produk bernilai tambah yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

“Sehingga kini, pengkomersialan pelbagai teknologi MPOB di sepanjang rantaian industri menjana potensi pasaran bernilai lebih RM6.2 bilion,” jelasnya.

“PMKS merangkumi 97.4% daripada jumlah keseluruhan perniagaan melibatkan lebih 1.2 juta usahawan di Malaysia. Dalam konteks ini, TOT MPOB 2026 dirangka secara strategik untuk memperkasakan kemajuan industri sawit termasuk penglibatan pemain PMKS bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing usahawan tempatan,” tambahnya.

TOT MPOB 2026 menawarkan lebih 300 teknologi hasil R&D MPOB yang sedia dikomersialkan kepada industri dan usahawan tempatan, peluang jalinan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi pembangunan teknologi serta pengkomersialan.

Antara tarikan utama TOT MPOB 2026 termasuk pameran teknologi dan produk inovasi sawit; padanan perniagaan dan peluang kerjasama industri; demonstrasi teknologi; sesi konsultasi bersama pencipta teknologi serta peluang pembiayaan dan pembangunan usahawan.

Program TOT MPOB turut memperkukuh agenda keterjaminan makanan dan ekonomi negara, dan platform strategik memperluas penggunaan teknologi tempatan, meningkatkan daya saing PMKS dan mempercepat transformasi industri sawit ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Para usahawan dialu-alukan untuk hadir ke sesi taklimat peluang pengkomersialan teknologi MPOB yang akan berlangsung pada jam 2.30 petang di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang perniagaan serta pelbagai pilihan produk teknologi R&D MPOB yang ditawarkan.

-NIAGATIMES

tot-mpob-26.jpg