Volvo Car Malaysia membuka pendaftaran minat bagi model sedan elektrik terbaharunya, Volvo ES90, yang akan menjadi kenderaan elektrik penuh pertama jenama itu dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia.
Model berkenaan dijadualkan membuat kemunculan sulung di pasaran tempatan pada suku pertama 2026, sekali gus mengukuhkan lagi portfolio kenderaan elektrik Volvo yang dirangka khas untuk memenuhi keperluan pengguna Malaysia.
Pelanggan yang berminat boleh mendaftar melalui laman web rasmi Volvo Car Malaysia bermula hari ini, dengan maklumat lanjut mengenai varian, spesifikasi penuh serta harga jualan akan diumumkan pada tarikh pelancaran kelak. Sebagai galakan awal, Volvo Car Malaysia menawarkan insentif pembelian sebanyak dua peratus kepada 100 pelanggan terawal yang membuat tempahan sehingga 31 Mac 2026.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata pemasangan tempatan ES90 menjadi simbol penting kepada perjalanan Volvo di Malaysia yang kini memasuki tahun ke-60.
“ES90 bukan sekadar model baharu, tetapi mencerminkan evolusi Volvo di Malaysia hasil pemahaman mendalam terhadap pasaran tempatan serta komitmen berterusan kami terhadap inovasi dan kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan.
Volvo ES90 dibina menggunakan seni bina elektrik 800-volt, menjadikannya antara model paling maju pernah diperkenalkan oleh Volvo. Teknologi ini membolehkan pengecasan ultra pantas sehingga 350 kilowatt, dengan bateri mampu dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 22 minit, selain menambah jarak pemanduan sehingga 300 kilometer dalam tempoh 10 minit pengecasan.
Dari segi prestasi, sedan elektrik itu menghasilkan kuasa sehingga 333 PS dan tork maksimum 480 Nm, dengan jarak pemanduan anggaran sehingga 651 kilometer bagi setiap cas penuh berdasarkan piawaian WLTP. Keupayaan ini membolehkan ES90 digunakan untuk perjalanan jarak jauh merentasi negara tanpa kebimbangan terhadap jarak.
ES90 turut dibangunkan sebagai kenderaan berasaskan perisian sepenuhnya menggunakan platform SPA2, disokong oleh Superset tech stack Volvo. Pendekatan ini membolehkan fungsi dan ciri kenderaan dipertingkatkan secara berterusan menerusi kemas kini perisian secara over-the-air sepanjang kitaran hayatnya.
Menambah kelebihan teknologi, model berkenaan menjadi yang pertama dalam barisan Volvo dilengkapi sistem pengkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin. Sistem ini menyediakan kapasiti pemprosesan tinggi untuk menyokong ciri keselamatan generasi baharu, integrasi kecerdasan buatan serta analitik data masa nyata bagi meningkatkan keselamatan dan pengalaman pemanduan.
Dengan gabungan teknologi canggih, prestasi mantap dan kelebihan pemasangan tempatan, Volvo ES90 dijangka menjadi antara penanda aras baharu dalam segmen sedan elektrik premium di Malaysia.
-NIAGATIMES






















































