6 teknik mulakan perniagaan dengan modal kecil

Ramai antara kita yang bercita-cita mahu bergelar usahawan dengan memulakan perniagaan namun tidak memiliki modal. Sumber kewangan yang terhad dan kesukaran mendapatkan pinjaman antara beberapa asbab yang menjadi punca majoriti daripada kita menyerah kalah lantas melupakan impian tersebut begitu sahaja. Jangan begitu! Tak perlu modal banyak pun. Apa kata, anda cuba dahulu teknik mudah berikut mulakan perniagaan:

(1) Berniaga di rumah
Semua usahawan sememangnya mahukan kedai sendiri. Namun, sebagai permulaan adalah lebih baik mulakan di rumah sahaja. Anda tidak akan terbeban dengan kos pembayaran untuk kedai. Malah, kos petrol ulang-alik ke tempat pelanggan dapat dijimatkan.

(2) Cuba berjimat
Jimat bukanlah kedekut. Utamakan keperluan-keperluan dalam perniagaan kecil anda dengan jiwa rakyat marhaen seperti makan di gerai biasa, tidak boros membeli pakaian mahal dan hanya dapatkan barangan berharga diskaun jika benar-benar perlu.

(3) Beli barang terpakai
Mulakan carian di laman web yang menyediakan khidmat menjual barangan terpakai. Anda boleh dapatkan barang-barang keperluan perniagaan seperti komputer riba, meja, kerusi, mesin dafar tunai dan lain-lain dengan harga yang jauh lebih murah.

(4) Guna khidmat sewa
Mempunyai kedai, kenderaan pelbagai guna (MPV), meja dan khemah niaga niaga sendiri memang bagus. Tetapi, mengapa perlu bayar lebih jika anda masih belum berkemampuan? Pilih bayaran secara sewa atau ansuran dahulu untuk sementara.

(5) Berniaga separuh masa
Sebagai permulaan, adalah lebih baik untuk anda berjinak-jinak berniaga secara sampingan dahulu. Khuatir nanti ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ lebih-lebih lagi jika anda sedang mempunyai kerja tetap. Andai sudah dapat rentak, bolehlah jalankan secara sepenuh masa kemudian.

(6) Rebut peluang niaga Ramadan dan Syawal
Sudah menjadi lumrah jualan sewaktu musim perayaan terbesar di Malaysia ini sentiasa menjadi laris. Sebut sahaja apa-apa jenis perniagaan. Makanan? Minuman? Pakaian? Bahkan bufet Ramadan? Semuanya mendapat sambutan! Anda boleh sertai peniaga-peniaga di premis mahupun bazar Ramadan dan Syawal untuk mulakan jejak perniagaan.

6 teknik mulakan perniagaan.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.