Sebuah pelan terperinci untuk menjadikan Hainan di wilayah selatan China sebagai sebuah Zon Perdagangan Bebas (FTZ) telah diumumkan oleh Majlis Negara Republik Rakyat China dalam langkah terbaharu mereka untuk membukakan lagi ekonomi negara terbesar di dunia itu.
Rancangan itu menyasarkan Hainan sebagai FTZ yang berkualiti tinggi dalam perkembangan kemudahan perdagangan dan pelaburan, persekitaran undang-undang yang sangat baik, perkhidmatan kewangan yang menyeluruh, peraturan yang cekap, sebuah persekitaran ekologi yang menggalakkan serta meningkatkan pembangunan bagi kawasan di sekitarnya menjelang 2020.
Syarikat-syarikat asing akan mempunyai capaian yang lebih menyeluruh terhadap beberapa bidang utama seperti pelancongan, pendidikan dan telekomunikasi. Satu kaedah penyenaraian iaitu perkhidmatan yang dikecualikan daripada cukai perkhidmatan melibatkan kawasan-kawasan ekonomi yang terbatas bagi pelaburan asing juga akan diaplikasikan di FTZ Hainan.
Pelan itu turut mengiktiraf Hainan dalam memberikan akses pelaburan asing secara lebih bebas. Mana-mana perniagaan antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan telekomunikasi nilai ditambah tidak perlu lagi melalui pihak berkuasa berpusat untuk memasuki pasaran.
Sistem berasaskan data akan digunakan untuk menaik taraf kecekapan kastam bagi menggalakkan perdagangan antarabangsa manakala syarikat-syarikat multinasional dan perdagangan disarankan memandang Hainan sebagai pangkalan bagi rangkaian perdagangan global mereka.
“Satu daripada ciri-ciri utama bagi pelan pembangunan FTZ Hainan adalah ia mengambil kira ciri-ciri yang berbeza di Hainan,” kata Naib Menteri Perdagangan China, Wang Shouwen, pada satu sidang media baru-baru ini.
Selain itu, syarikat-syarikat perkapalan tempatan dan asing akan digalakkan untuk menubuhkan pusat operasi di FTZ sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina wilayah tersebut menjadi sebuah hab perkapalan antarabangsa.
Pelan itu telah diumumkan oleh Majlis Negara Republik Rakyat China di laman web rasmi www.gov.cn .