Produk halal Malaysia, terutamanya barangan kosmetik dan penjagaan peribadi mendapat permintaan tinggi di India meskipun pertumbuhan jualan yang perlahan pada 2018, kata Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC).

Pengurus Bahagian Antarabangsanya, Mohammad Shukur Sugumaran berkata, pengimport India menunjukkan minat tinggi untuk mendapatkan produk tersebut dari Malaysia berikutan kesedaran yang semakin meningkat untuk mencari produk yang bersih, organik, sihat dan selamat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Permintaan adalah amat besar di India sekarang, dan ia bukan hanya datang daripada orang Islam tetapi juga daripada bukan Islam,” katanya kepada Bernama pada Global Halal India Expo 2019 di Bangalore, baru-baru ini.

Perangkaan daripada HDC Halal Datawarehouse System menunjukkan eksport halal ke India meningkat 12 peratus kepada RM1.59 bilion pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain daripada produk kosmetik dan penjagaan peribadi, Mohammad Shukur, yang bertemu beberapa pengimport India bersempena dengan ekspo tiga hari itu di Bangalore mendedahkan bahawa fesyen sederhana bercirikan Islam juga merupakan produk yang semakin mendapat perhatian pengimport.

Tambahnya lagi, makanan dan minuman halal kekal sebagai produk pilihan dalam pasaran India, meskipun peraturan pelabelan ketat yang dikenakan oleh badan kawal selia makanan negara tersebut, Food Safety and Standards Authority of India (FSSAI). – BERNAMA

India-Malaysia import eksport