Kepelbagaian platform teknologi kewangan dorong perkembangan syarikat tempatan

Landskap teknologi kewangan (fintech) tempatan berkembang pesat, dan terus memberi perkhidmatan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) serta generasi baharu pelabur.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Syed Zaid Albar berkata kini terdapat 21 platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan platform pembiayaan Rakan-kepada Rakan (P2P) yang berdaftar dengan SC, dan secara kolektifnya telah mengumpul RM587 juta untuk lebih 1,600 MSME.

“Platform ini akan terus memberi perkhidmatan kepada beberapa sektor MSME termasuk dalam sektor berteknologi tinggi, pendidikan, runcit, makanan dan minuman, dan pelabur muda di bawah 35,โ€ katanya pada sidang media selepas melancarkan edisi keenam persidangan SCxSC Fintech di ibu pejabat SC Malaysia, semalam.

Beliau berkata susulan minat yang semakin meningkat ke atas fintech, penggiat wajar memberi perhatian kepada pasaran modal Islam, bukan hanya dari segi sukuk dan ekuiti, bahkan ke atas pengurusan dana.

“Kami percaya bahawa fintech Islam adalah segmen pasaran yang belum dimanfaatkan dalam ekosistem semasa, dan mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan,” katanya.

Dari aspek digital, Syed Zaid berkata potensi teknologi ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam mempromosikan pasaran modal, kerana ia boleh bertindak sebagai pemboleh utama bagi pertumbuhan ekonomi dan transformasi.

-BERNAMA

Syed-Zaid-Albar.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.