Kerjaya sebagai usahawan yang terlibat dengan pelbagai urusan perniagaan sememangnya menuntut tahap fokus yang tinggi. Namun terkadang ada masanya ramai di antara kita yang ‘terbabas’ dari landasan serta matlamat asal dek kerana hilang tumpuan terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Ambil perhatian, gejala 5M ini perlu anda hindari:
(1) Melayari media sosial
Tidak dinafikan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram banyak manfaatnya pada zaman teknologi kini. Tetapi, berapa ramai daripada kita yang benar-benar memanfaatkannya? Tidak salah bersosial, sebaliknya letakkan had. Majoriti mungkin mudah hanyut leka menelaah perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan tiada kaitan pun dengan urusan perniagaan.
(2) Menghindar daripada tanggungjawab
Jadi usahawan perlulah ada keberanian. Sekiranya ada tugas-tugas tertentu yang memerlukan komitmen anda untuk terlibat, janganlah lari. Belajar untuk cabar diri anda menjadi lebih bertanggungjawab kepada setiap urusan kerana perkara itulah yang kelak akhirnya akan mematangkan anda dalam meneroka dunia perniagaan yang serba mencabar.
(3) Membalas e-mel serta merta
Sudah menjadi kebiasaan kita untuk membalas e-mel yang masuk dalam kadar segera disebabkan bimbang terlupa. Apa kata jika cuba praktikkan jadual waktu urusan membalas e-mel pada waktu yang lebih lapang seperti ketika waktu rehat atau ketika hampir pulang kerja.
(4) Mahukan yang sempurna
Mungkin ramai usahawan cepat berasa tertekan apabila terjadinya sesuatu yang dirancang tidak berlaku seperti yang dimahukan. Akibatnya, banyak masa dihabiskan begitu sahaja kerana telah gigih memperbaikinya berulang-ulang. Lebih baik tenangkan diri belajar menerima ketidaksempurnaan dengan lapang dada.
(5) Mesyuarat
Masa itu emas. Tidak perlu menghabiskan masa selama berjam-jam hanya kerana mahu berbincang secara kumpulan jika ia sekadar melibatkan beberapa staf kecil sahaja. Gunakan sahaja kemudahan grup WhatsApp untuk hebahan. Jika perlu adakan mesyuarat juga, hadkan tempoh sekitar 15 hingga 30 minit sahaja.