SSM perkenal format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan

0
17

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan format baharu nombor pendaftaran bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad sedia ada untuk entiti perniagaan yang berdaftar dengan suruhajaya itu.

SSM dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan SSM yang mengandungi 12 digit itu dijangka memudahkan pengurusan data dan pembangunan sistem kerana ia adalah satu format nombor yang menepati piawaian bagi semua jenis enititi perniagaan.

“Bagi syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan pada dan selepas pelaksanaan format baharu, SSM akan memperuntukkan dua format nombor iaitu format lama dan baharu.

“Format nombor baharu itu mengandungi empat nombor pertama menunjukkan tahun entiti perniagaan itu diperbadankan, dua nombor berikutnya menunjukkan jenis enitit perniagaan dan enam nombor berikutnya menunjukkan turutan nombor enitit perniagaan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

SSM menjelaskan, jenis enititi perniagaan dikelaskan dengan nombor 01 untuk syarikat tempatan, 02 untuk syarikat asing, 03 untuk perniagaan, 04 untuk perkongsian liabiliti terhad asing dan 06 untuk perkongsian liabiliti terhad amalan profesional.

Dalam kenyataan itu, SSM turut memaklumkan bahawa nombor pendaftaran sedia ada masih boleh digunakan bersama dengan format baharu nombor untuk satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian.

“Pemilik perniagaan juga tidak perlu membuat perubahan pada surat rasmi, invois, papan tanda dan cetakan lain-lain dokumen sehingga SSM memaklumkan tarikh penguatkuasaan penggunaan satu format nombor sahaja.

“Namun, penggunaan format baharu nombor pendaftaran adalah digalakkan,” menurut kenyataan itu.

Format baharu itu diperkenalkan bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang sedia ada serta selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggunakan satu format pendaftaran tunggal bagi entiti perniagaan di Malaysia di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 hingga 2020.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my.

-BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.